Friday, April 24, 2009

Surat Chenta Yang Shahdu


Dalam kesuraman ultra lembayung tika tujuh bulan menumpahkan cahaya di bawah kaki langit khirmizi, tiba-tiba aku terkenangkan eureka nostalgia cinta lama yang kita palitkan berdua. Kehadiranmu bersama molekul-molekul hydrogen menerajang segala kekusutan yang membelit tali perutku. Dan kehadiranmu itu mengajar aku erti gelora dan syahdu. Kau juga mengajarku erti cinta, singa laut, beruang kutub, penguin, kambing salji, mi rebus, cendol, koridor, kotak pensil, tali kasut, dan pasu bunga. Kala itu, kita bagaikan Nobita dan Sizuka. Kau dan aku umpama Kurt Cobain dan Rafeah Buang yang tak dapat dipisahkan. Malangnya percintaan yang mendapat liputan meluas hingga ke planet Ziku itu telah mengundang perpisahan yang akhirnya telah mengecewakan seluruh penternak lipan di Burma. Kau pergi jua ketika Kuala Lumpur sedang bersiap sedia menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 1998.


Sesungguhnya perpisahan itu berpunca daripada penebangan pokok getah secara besar-besaran di Lembah Klang,. Pemergianmu menyebabkan aku menghidap penyakit resdung dan hepatitis-Q secara mengejut.
Ketiadaanmu memaksa aku memakai topi keledar setiap masa sebagai langkah keselamatan. Aku seperti tidak percaya dengan apa yang telah terjadi. Aku bagaikan tergelincir dari orbit Bumi dan terpelanting ke ruang angkasa, apabila daya tarikan graviti terhadapku tidak lagi berfungsi setelah aku tersungkur dalam percintaan yang berlarutan hingga ke rubber-set. Seluruh perjalanan hidupku menjadi gelap gelita bagaikan terperangkap di dalam gua yang gelap dan ditemani stalagtit dan stalagmit yang bagai sembilu.
Kondominium cinta yang kita bina dari makgat basikal dan kipas helicopter akhirnya musnah setelah kau berpaling tadah. Ternyata sikapmu berubah apabila Malaysia melancarkan satelit MEASAT-1 ke ruang angkasa raya. Sejak itu kau mula melarikan diri setiap kali terserempak dengan abang iparku. Akhirnya aku menyedari bahawa diri ini tidak diperlukan lagi.

Sejak kau tiada, aku sering menyendiri berbual-bual dengan pokok betik untuk mengisi masa lapang. Kadang-kadang aku mengikat botol oren pada tiang rumah agar kelihatan lebih cantik. Saban hari aku termenung di dalam peti sejuk sambil mengenangkan dirimu yang entah ke mana menghilang. Aku cuba bermain badminton sambil memakan mi hailam untuk melupakanmu, tetapi aku tak berdaya. Lalu aku membakar sebuah mesin basuh dan membelasah empat ekor itik serati jiran sebelah sebagai tanda aku tidak bersalah.
Mengapa? Mengapa sayang? Mengapa ini semua terjadi? Mengapa setelah kau curi hatiku, kau rompak cintaku lantas kau bunuh cintaku sehingga kau terbunuh dalam kemalangan cinta yang ngeri. Aku bagaikan terhimpit dan dihimpit oleh guni-guni batu yang kau timpakan di atas belakangku. Derita yang kau timpakan itu adalah bebanan yang terlalu berat untuk untuk ku tanggung bagaikan mendukung 75 ekor biawak 386 ekor anak beruk . Dan kini segala harapanku hancur berkecai bagaikan aku terjatuh dari menara Kuala Lumpur dan dihempap oleh Menara Berkembar Petronas lalu tersangkut di celah landasan LRT dan kemudiannya digilis oleh keretapi Komuter hingga aku hancur berkecai. Oh! Terlalu berat dugaan yang aku tempuhi ini!!!!
Kini segalanya telah pun berakhir. Aku sedar siapa aku. Aku hanya insan biasa yang suka makan mi segera. Aku bukan McGyver, McDonald’s, Superman atau Kesatria Baja Hitam. Aku juga bukanlah Ultraman seperti yang kau idam-idamkan. Aku menyedari kekurangan diri dan kekurangan kemudahan awam di tempat sendiri. Tak perlu dikesali lagi kerana nasi telah menjadi bubur ayang Mc' D dan tin sardin yang ku genggam ini telah pun luput tarikhnya. Segalanya sungguh mengharukan dan segala hadiah pemberianmu telah aku cincang untuk dijadikan makanan lembu.
Walaupun segalanya telah berakhir, di sini, di atas pokok getah ini aku tetap menunggu kau kembali. Selagi ada nafas ini, selagi ada kompleks membeli-belah SOGO, selagi ada selipar Jepun di Malaysia, selagi kumpulan Metallica tak berpecah, aku tetap menunggumu sehingga matahari terbelah lapan. Namun ku sedari bahawa penantianku adalah sia-sia belaka. Akhirnya aku mengambil keputusan untuk menunggu tiang letrik di depan rumahku berbuah. Kalau tiang letrik berbuah nanti, aku poskan buahnya kepadamu. Nak tak?

Dear Bloggers..Any comments????Shahdu ke nie..aku tak tau ler saper la yang forward emel nie...dah berkali2 aku baca, tak berapa nak paham gak...somehow quite funny tau......tapi takpe...juzzz layannnnnnnnnnnn

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...